KUALA BELAIT, KHAMIS, 5 Jun 2026 — Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama beberapa agensi penguatkuasaan telah berjaya menjalankan satu Operasi Sepadu Pencegahan Jenayah di dua lokasi berasingan di kawasan Kampong Mumong dan Jalan Pandan Satu pada 4 Jun 2026.
Operasi ini melibatkan kerjasama antara PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN) serta Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU), meliputi pemeriksaan di Barek Singa Menteri, Kampong Mumong dan sebuah premis kediaman pekerja di Jalan Pandan Satu, Kuala Belait.
Hasil operasi tersebut, BKN telah menahan lapan orang, iaitu enam lelaki dan dua perempuan, yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(a), 6(b) dan 7 Akta Penyalahgunaan Dadah (Penggal 27). Turut ditahan seorang individu yang dikehendaki melalui waran tangkap. Antara eksibit yang dirampas termasuk sebatang straw yang berisi hablur dipercayai dadah terkawal serta dua buah alat yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah terkawal.





Selain itu, JKED mendapati tiga kesalahan di bawah Seksyen 146(1) Perintah Eksais 2006 berkaitan rokok tanpa cukai, di mana sejumlah besar rokok pelbagai jenama telah dirampas. JIPK pula mendapati empat kesalahan, termasuk seorang pekerja yang dilaporkan melarikan diri daripada majikan serta tiga individu yang gagal mengemukakan dokumen yang dikehendaki di bawah Akta Imigresen (Penggal 17). BPU turut mendapati satu kesalahan di bawah Seksyen 196(1) Kanun Jenayah Syariah (Penggal 275) iaitu kesalahan Khalwat.


PPDB menegaskan bahawa operasi sepadu sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti jenayah boleh menghubungi PPDB melalui talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
