BANDAR SERI BEGAWAN, KHAMIS, 24 September 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF) telah mengadakan Kursus Penyiasatan Jenayah Siber 2026 selama empat hari dari 21 hingga 24 September 2026 di Institut Perkhidmatan Awam (IPA).
Kursus ini merupakan kesinambungan daripada pertemuan dua hala antara PPDB dan SPF yang berlangsung di Singapura pada 1 September 2026 lalu. Seramai 27 orang peserta dari PPDB telah mengikuti kursus yang dikendalikan oleh empat orang jurulatih dari SPF. Kursus ini bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran praktikal peserta dalam penyiasatan jenayah siber, penipuan dalam talian dan pengendalian bukti digital.


Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan asas penyiasatan jenayah siber termasuk perundangan berkaitan, kaedah mengesan aktiviti dalam talian melalui laman sesawang, e-mel dan media sosial, serta ancaman perisian hasad (malware), perisian tebusan (ransomware) dan jenayah berkaitan mata wang kripto. Peserta juga mempelajari kaedah penyiasatan pelbagai jenis penipuan dalam talian seperti penipuan cinta, penipuan pelaburan dan pinjaman, penyamaran di media sosial serta penggunaan akaun keldai.
Selain itu, peserta turut dilatih dalam pengendalian dan pemeliharaan bukti digital di tempat kejadian, dari peringkat penggeledahan dan penyitaan hingga pendokumentasian barang bukti. Pengetahuan yang diperoleh diaplikasikan melalui latihan praktikal dan latihan berkumpulan berasaskan senario.
Upacara penutup kursus disempurnakan oleh Penolong Pesuruhjaya Polis Haji Azree bin Haji Abd Manaf, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, di Dewan Bankuet, Mes Pegawai. Sempena upacara tersebut, satu taklimat bertajuk “Pendekatan Singapura dalam Mengurus Kes Penipuan dan Jenayah Siber” telah disampaikan oleh Penguasa Polis Ong Zhi Xian, Ketua Cawangan Latihan Siber, Cyber Command dan Timbalan Penguasa Polis Brandon Man, Pegawai Staf (Dasar Penyiasatan), Bahagian Dasar Siber, Jabatan Siasatan Jenayah, SPF. Taklimat tersebut turut dihadiri oleh pihak berkepentingan yang dijemput dari Jabatan Peguam Negara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Autoriti Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam, Unified National Networks, Bank Pusat Brunei Darussalam, Cyber Security Brunei, Bank Islam Brunei Darussalam, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei, Baiduri Bank, Standard Chartered Bank, Maybank, RHB Bank Berhad, Datastream Digital Sdn. Bhd., Progresif Sdn. Bhd. dan Imagine Sdn. Bhd. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
