BANDAR SERI BEGAWAN, KHAMIS, 1 OKTOBER 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap penipuan dalam talian, khususnya penipuan jual beli dalam talian (E-Commerce Scam), penipuan pancingan data (Phishing Scam) dan penipuan menyamar sebagai pegawai kerajaan (Government Official Impersonation Scam).

Bagi kes penipuan jual beli dalam talian, antara akaun media sosial yang telah dikenal pasti ialah D.H Gazebo Brunei (TikTok), wwan wan (Facebook), Perodua Nautica Owners Malaysia (Facebook), runzone.bn (Instagram), Pre-Owned Garmin Brunei (TikTok), Cs Preloved Watches (Telegram), Sportwatch44 (Instagram) dan D.H Gazebo Klasik Brunei.

Modus operandi penipuan ini lazimnya melibatkan tawaran barangan pada harga yang menarik melalui media sosial atau aplikasi pesanan. Mangsa akan diminta membuat bayaran deposit atau bayaran penuh, namun barangan tidak dihantar, bayaran tambahan diminta, atau suspek tidak lagi dapat dihubungi selepas pembayaran dibuat.

Bagi kes penipuan pancingan data, laman sesawang yang telah dikenal pasti ialah aqeeqhotels.com. Mangsa lazimnya diperdaya melalui pautan atau laman sesawang yang menyerupai laman rasmi bagi mendapatkan maklumat peribadi, maklumat perbankan, nombor kad atau kod pengesahan. Maklumat tersebut boleh disalahgunakan untuk mengakses akaun atau melakukan transaksi tanpa kebenaran.

Bagi kes penipuan menyamar sebagai pegawai kerajaan pula, suspek menyamar sebagai pegawai Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan menggunakan alasan berkaitan bekalan elektrik, akaun, bayaran atau masalah perkhidmatan bagi mendapatkan maklumat peribadi dan maklumat perbankan mangsa, atau mendorong mangsa untuk membuat pembayaran.

Sehubungan dengan itu, PPDB menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran barangan yang terlalu murah, serta menyemak identiti penjual dan kesahihan akaun terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembayaran.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menekan pautan yang mencurigakan atau memasukkan maklumat peribadi dan perbankan ke dalam laman sesawang yang tidak dapat disahkan, dan tidak memberikan kata laluan, nombor kad, kod pengesahan atau maklumat perbankan kepada pihak yang tidak dikenali.

Sekiranya menerima panggilan atau mesej daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai kerajaan, orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan terlebih dahulu melalui saluran rasmi jabatan atau agensi kerajaan berkenaan.

Orang ramai juga diingatkan supaya menyimpan segala bukti seperti tangkap layar, pautan, nombor telefon, akaun media sosial, nombor akaun bank dan resit transaksi.

Orang ramai yang menjadi mangsa atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan penipuan ini dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis dan mengemukakan semua bukti yang ada bagi membantu siasatan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI