JUNJONGAN, Ahad 17 Julai 2022 – Atas usaha kerjasama yang berterusan di antara Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam Operasi Sepadu Taskforce Covid-19 telah berjaya menemukan sejumlah barangan tegahan yang cuba dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam.
Kejadian berlaku pada sekitar tengah malam 16 Julai 2022, bilamana pasukan peronda telah ada mengekori 2 buah kenderaan yang disyaki mencurigakan telah memasuki persimpangan di kawasan Kg Junjongan.
Menyedari akan kehadiran pasukan peronda, kedua-dua pemandu (suspek) kenderaan segera keluar dari kenderaan mereka dan melarikan diri dipercayai menuju ke kawasan sempadan.
Semasa pemeriksaan kenderaan dan kawasan dijalankan, pasukan peronda telah menemukan sejumlah bungkusan kotak hitam ada diletakkan di kawasan tepi jalan tidak jauh daripada kenderaan yang telah ditinggalkan oleh suspek.
Pemeriksaan kemudian dijalankan ke atas bungkusan hitam yang berjumlah 133 kotak itu dan mendapati ianya adalah barangan tegahan yang mengandungi secara keseluruhan berjumlah 6650 katon rokok pelbagai jenama.
Barang-barang tegahan kemudiannya dirampas dan dibawa ke Balai Polis Limau Manis untuk siasatan awal dan seterusnya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa memastikan penugasan di kawasan sempadan dipantau dan diperketatkan lagi dari masa ke semasa. Ianya adalah untuk menyekat kemasukan individu-individu secara haram selain membanteras sebarang aktiviti-aktiviti yang menyalahi perundangan negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
