BELAIT, Selasa 17 Mei 2022 – Satu Operasi Sepadu sekatan jalanraya melibatkan agensi penguatkuasa undang-undang di negara ini telah dikendalikan semalam 16 Mei 2022 bertempat di dua Jalan Bypass Lumut hala Tutong dan hala Seria.
Operasi melibatkan beberapa jabatan di Pasukan Polis Diraja Brunei terdiri daripada Pegawai dan anggota dari Balai Polis Sg Liang dan Balai Polis Labi, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) serta Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Operasi yang bermula pada jam 8.30 malam itu diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalulintas Daerah Polis Belait, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Alvin Goh.
Berikutan daripada operasi berkenaan sebanyak 650 kenderaan telah diperiksa dan Pihak Polis telah mengeluarkan sejumlah 23 kesalahan kompaun yang melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68 seperti cukai kenderaan mansuh, lesen memandu mansuh, memakai pelekat plastik filem / memakai tabir, ubah suai kenderaan dan beberapa kesalahan lagi.
Manakala bagi jabatan lain adalah seperti berikut;
JKED – 12 kesalahan melibatkan memiliki barang tegahan dibawah Perintah Eksais 2006
BKN – 3 kesalahan melibatkan memiliki ketulan hablur dipercayai dadah, memakan dadah terkawal dan memiliki alat pekakas untuk menghisap dadah terkawal di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (APD) penggal 27
JPD – 5 kesalahan melibatkan Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68 seperti tidak ada mudguard, memasang roof rack tanpa kebenaran dan beberapa kesalahan lagi
Diharapkan dengan operasi-operasi yang dijalankan ini akan memberikan panduan dan kesedaran akan kepentingan mematuhi peraturan Undang-undang di Negara Brunei Darussalam, di samping memohon kepada masyarakat awam agar turut sama memainkan peranan proaktif sebagai mata dan telinga kepada agensi-agensi penguatkuasa dengan menyalurkan maklumat yang berguna agar kegiatan-kegiatan jenayah dapat dibenteras dengan sebaiknya sehingga ke peringkat akar umbi demi untuk menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.
Dalam pada itu juga, turut diterapkan kepada anggota-anggota yang bertugas untuk mengamalkan sifat sopan, berhemah dan berdisiplin semasa operasi dijalankan bagi tujuan pendekatan, interaksi dan mewujudkan kepercayaan masyarakat awam dalam usaha berganding bahu membendung dan mencegah jenayah secara lebih efektif di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
