MUARA, Sabtu 5 Feb 2022 – Pada 4 Februari 2022, Satu Operasi Sepadu telah dikendalikan hasil daripada kolaborasi di antara Unit Operasi Khas Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di kawasan persekitaran perairan zon Brunei Muara.
Sejurus Operasi bermula, sebuah perahu (suspek) yang mencurigakan telahpun dikesan sedang melalui kawasan peroperasian dan berusaha untuk melarikan diri. Percaturan strategi pencarian segera dirancang dan pihak JKED telah berhasil menemukan beberapa bungkusan kotak mencurigakan tanpa bertuan diletakkan di sekitar tebing Sungai Teritip, Kg Mentiri. Kesemua barang rampasan segera dibawa ke Pangkalan Polis Marin bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan awal.
Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan telah mendapati penemuan bungkusan tersebut merupakan barangan tegahan iaitu rokok berjumlah 550 katon pelbagai jenama.
Kesemua barangan rampasan serta penyiasatan kes diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.
PPDB beserta agensi penguatkuasa undang-undang yang lain akan sentiasa meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan perairan negara ini bagi memastikan tiada ada pelanggaran undang-undang berlaku serta percubaan-percubaan bagi menyeludup barang-barang tegahan.
Di samping itu, PPDB juga mengingatkan kepada masyarakat awam agar memainkan peranan sewajarnya selaku mata dan telinga pihak berkuasa dalam sama-sama membantu mengongsikan maklumat dalam pengesanan dan pembanterasan aktiviti-aktiviti yang berbaur negatif di kawasan kediaman dan persekitaran mereka.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
