TEMBURONG, Selasa 31 Mei 2022 – Dua (2) Operasi Sepadu melibatkan Pencegahan Jenayah dan Sekatan Jalanraya telah dikendalikan semalam 30 Mei 2022 bertempat di beberapa lokasi berasingan di Daerah Temburong.
Bagi operasi sepadu pencegahan jenayah, 4 agensi penguatkuasa telah terlibat terdiri daripada pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) Daerah Temburong serta daripada Pihak Keselamatan Dalam Negeri Cawangan Daerah Temburong.
Operasi berkenaan telah mensasarkan terhadap rumah-rumah penginapan yang ada beroperasi di kawasan Kampong Belais, Daerah Temburong. Mengetuai operasi ialah Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Muhd Ajib bin Haji Ahmad Awal.
Berikutan daripada operasi berkenaan, pihak penguatkuasa telah mendapati kesalahan dibawah akta kastam iaitu penemuan barang tegahan rokok. Siasatan lanjut diambil alih oleh pihak JKED.
Manakala bagi operasi sepadu sekatan jalanraya, agensi yang menyertai terdiri daripada Balai Polis Bangar PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) yang diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Pemangku Timbalan Penguasa Polis (Ag.DSP) Shamsulariffin bin Hj Abd Wahab.
Sebanyak 5 kesalahan kompaun telah dikeluarkan oleh pihak polis kepada para pemandu yang melanggar Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68, 1 kesalahan di bawah Perintah Eksais 2006 kerana memiliki barangan tegahan iaitu penemuan peralatan rokok elektrik (vape) dan 1 kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (APD) Penggal 27 iaitu penemuan dipercayai dadah jenis ganja.
Kesemua kesalahan dan penemuan barang rampasan telah diambil tindakan oleh jabatan masing-masing.
PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai akan sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
