TEMBURONG, Khamis 14 Julai 2022 – Tugasan teras penguatkuasaan undang-undang sentiasa dijalankan dengan sepenuhnya meliputi segala aspek pengesanan, pembendungan serta pencegahan terhadap kegiatan-kegiatan yang berbaur jenayah mahupun sebarang kesalahan undang-undang di negara ini. 

Pelbagai strategi telah diterapkan bagi memastikan peruntukan perundangan sentiasa utuh dan dilaksanakan dengan penuh komited agar kesejahteraan dan keamanan negara sentiasa terjamin dan terkawal. 

Salah satu strategi yang dilaksanakan adalah melalui operasi-operasi sepadu sepertimana yang telah dijalankan semalam 13 Julai 2022 di Daerah Temburong. 

Operasi berkenaan telah melibatkan 4 agensi penguatkuasa undang-undang dipimpin oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (Daerah Polis Temburong) beserta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN). 

Operasi telah mensasarkan tiga (3) lokasi rumah kediaman di kawasan Kg Sulok, Kg Pekan Bangar Baru dan Kg Sungai Tanit, Daerah Temburong yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Penguasa Polis (Superintendent) Hj Irham bin Hj Muhd Arshad. 

Hasil daripada operasi telah menemukan seperti berikut; 

JKED : 

Penemuan pertama : 1 katon, 10 paket dan 20 batang barang tegahan rokok serta wang berjumlah BND$3,291.00 dipercayai hasil daripada jualan barang tegahan. 

Penemuan kedua : 485 katon rokok pelbagai jenama, 46 botol dan 721 minuman keras pelbagai jenama. 

Kesemua barang rampasan telah diambil tindakan dan siasatan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja. 

Oleh yang demikian, PPDB serta agensi penguatkuasa undang-undang yang lain akan sentiasa meningkatkan usaha dalam menangani kegiatan-kegiatan negatif serta anasir-anasir jenayah hingga ke peringkat akar umbi demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI