TEMBURONG, Ahad 24 April 2022 – Operasi Sepadu Pencegahan Jenayah telah dikendalikan pada 24 April 2022. Operasi berkenaan telah mensasarkan beberapa buah tempat rumah penginapan dan kediaman di kawasan Kg Belais, Daerah Temburong. 

Operasi tersebut telah melibatkan pegawai dan anggota daripada Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama beberapa jabatan penguatkuasa undang-undang yang lain terdiri daripada Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) Daerah Temburong. 

Operasi yang bermula pada jam 2 pagi itu diketuai oleh Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Muhd Ajib bin Haji Ahmad Awal. 

Berikutan daripada operasi berkenaan, pihak penguatkuasa telah mendapati ; 

I) 1 kesalahan di bawah Akta Ugama dan penyiasatan telah diambil alih oleh Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) Daerah Temburong. 

II) 4 kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah dan penyiasatan kes diambil alih oleh pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) Cawangan Daerah Temburong. 

Dalam usaha negara bagi memastikan kesejahteraan dan keamanan sentiasa terpelihara, pihak penguatkuasa undang-undang telah menggerakkan jentera rondaan, pemantauan serta akan mengambil tindakan serta merta tanpa kompromi jika ada didapati terdapatnya sebarang kegiatan mahupun aktiviti yang berunsur negatif dan melanggar kesalahan perundangan ditemukan. 

Sementara itu, PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai untuk sentiasa memberikan bantuan kerjasama tanpa jemu dalam perkongsian maklumat bagi membantu mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan pembenterasan yang sewajarnya. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI