BRUNEI MUARA, Jumaat 19 Nov 2021– Detik Fasa Peralihan negara bermula pada hari ini. Tumpuan utama dalam fasa ini menjurus kepada skop penilaian pembendungan penularan COVID-19 berada di dalam keadaan kapasiti dan respon yang terkawal serta diselenggara dengan sepenuhnya bagi mengelak kesan jangkitan yang teruk melalui pelaksanaan strategi-strategi yang dirangka pihak kerajaan.
Selanjutnya, kerajaan telah mempertimbangkan lebih banyak sektor ekonomi serta pelbagai fasiliti-fasiliti kembali beroperasi seperti biasa dengan mematuhi garis panduan dan persyaratan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Di sebalik kelonggaran dan pengurangan langkah-langkah pengawalan yang diluluskan pihak kerajaan, masyarakat ditegaskan untuk terus komited dan bertanggungjawab dalam mengekalkan disiplin dan SOP pematuhan bagi mengelak kemungkinan berlakunya penularan dan juga kluster kes-kes baharu.
Pelanjutan operasi penguatkuasaan semasa fasa peralihan masih diteruskan dan dikenali sebagai Operasi Peralihan yang akan beroperasi bermula pada jam 10 malam sehingga 4 pagi.
Turut dikongsikan ialah hasil daripada Operasi Pulih yang dikendalikan semalam, di mana sebanyak 11 pelanggaran arahan ditemukan dan telah diambil tindakan denda kompaun ke atas mereka.
Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ;
9 kesalahan di Daerah Brunei Muara
2 kesalahan di Daerah Tutong
Kesiapsiagaan kerajaan dalam mempersiapkan negara menyusuri fasa peralihan amatlah disanjungi dan dihargai, kebajikan dan kesejahteraan kesihatan masyarakat sentiasa didahulukan dan diutamakan. Justeru, sokongan penduduk dan rakyat negara adalah amat diperlukan bagi memastikan proses pemulihan melalui fasa peralihan ini dilaksanakan dengan selamat, berwaspada dan membuahkan hasil dengan jayanya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
