BRUNEI MUARA, Ahad 14 Nov 2021 – Situasi penularan wabak COVID-19 yang menyelubungi dunia global telah mencetuskan transformasi mendesak serta mendadak kepada perubahan sosial dan gelagat baharu dalam kehidupan sejagat.
Impak terhadap perlaksanaan langkah pengawalan yang dikuatkuasakan di negara ini juga turut memberi kesan kepada tindakan perilaku harian masyarakat. Sebagai penggunaan platform digital dalam skala penuh yang menjurus kepada pembelajaran dalam talian, permesyuaratan, membeli belah serta pembayaran dalam talian secara tiba-tiba menjadi norma baharu buat negara.
Langkah yang paling asas yang diterapkan ketika ini juga menjurus kepada galakan orang awam untuk berada di rumah masing-masing dan hanya keluar jika perlu, mewajibkan mempraktik kebersihan diri, penjarakan sosial serta pemakaian sungkup muka semasa berada di luar rumah.
Strategi yang diperkenalkan pihak kerajaan melalui operasi penguatkuasaan ‘Operasi Pulih’ melibatkan pelbagai kementerian adalah merupakan langkah yang efektif lagi kolektif dalam memastikan kebaikan dan kesejahteraan semua pihak terus terjamin dalam pengurangan pergerakan bagi membendung risiko penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.
Dalam pada itu, hasil daripada pemantauan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan semalam 13 November 2021 bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mendapati sebanyak 10 pelanggaran arahan ditemukan dan telah diambil tindakan denda kompaun ke atas mereka.
Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ;
7 kesalahan di Daerah Brunei Muara
1 kesalahan di Daerah Belait
2 kesalahan di Daerah Tutong
Selaras dengan pematuhan yang disarankan oleh pihak kerajaan, ianya adalah bertujuan untuk kepentingan dan kemaslahatan masyarakat umum yang perlu ditanai serta dipikul sebaiknya bagi proses pemulihan negara mengharungi detik-detik situasi pembendungan wabak daripada tersebar secara meluas tanpa sebarang kawalan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
