BRUNEI MUARA, Khamis 23 Dis 2021 – Di kala negara masih berada di dalam fasa awal endemik, Penguatkuasaan yang dilaksanakan melalui Operasi Peralihan akan sentiasa dipantau dengan penuh komited kerana di dalam fasa endemik ini tidak bermakna wabak penularan COVID-19 tersebut telah berakhir.
Di sebalik arahan Pihak Kerajaan dalam memberikan kelonggaran terhadap sekatan-sekatan pergerakan, masyarakat awam perlu sentiasa beringat dan berwaspada agar tidak membiarkan pengawasan kendiri diabaikan tanpa mengira masa dan tempat.
Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang diaturkan perlu menjadi keutamaan semua lapisan masyarakat di negara ini bagi memastikan penularan sentiasa dibendung dengan sebaiknya bagi memastikan pelindungan dan keselamatan diri sendiri serta keluarga sentiasa dalam keadaan terjamin.
Perhatian terhadap kebijaksanaan masyarakat dalam mengimbangi aktiviti-aktiviti seharian perlu kepada pengurusan yang wajar dalam mengolah kehidupan dalam era norma baharu.
Terkini, hasil daripada Operasi Peralihan yang dijalankan oleh agensi-agensi penguatkuasa undang-undang yang dipimpin oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semalam 22 Disember 2021 telah mencatatkan sebanyak 3 pelanggaran arahan ditemukan
Pelanggaran arahan mengikut urutan daerah ;
2 kesalahan di Daerah Brunei Muara
1 kesalahan di Daerah Belait
Oleh yang demikian, Pihak kerajaan menyeru kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini agar dapat memanfaatkan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan dengan sentiasa mempraktikkan disiplin dan rasa tanggungjawab dengan penuh dedikasi melalui pematuhan SOP COVID-19 seperti pemakaian sungkup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sosial serta sentiasa memastikan penjagaan kebersihan dan juga keselamatan diri.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
