BRUNEI MUARA, Rabu 15 Dis 2021 – Pengisytiharan Fasa Endemik bagi Negara Brunei Darussalam di bawah Rangka Kerja Pemulihan Kebangsaan COVID-19 telah bermula pada tarikh 15 Disember 2021. Melalui fasa berkenaan, pelbagai inisiatif kerajaan telah dikemukakan dan dikemaskini yang meliputi garis-garis panduan dalam menyusuri situasi fasa awal endemik. 

Di samping itu juga, strategi tambahan yang diungkayahkan oleh pihak kerajaan terhadap sekatan pergerakan orang ramai yang dilaksanakan melalui Operasi Peralihan ini turut dilanjutkan sehingga 14 Januari 2022. 

Dalam tempoh fasa endemik ini, kerjasama dari semua lapisan masyarakat hendaklah bersinergi dengan mengekalkan momentum pematuhan arahan serta mengambil peranan secara optimum dalam menjayakan perancangan pihak kerajaan mengharungi penularan dan pembendungan wabak dengan lebih berkesan dan efektif. 

Sementara itu, melalui Operasi Peralihan yang dijalankan oleh agensi-agensi penguatkuasa undang-undang yang dipimpin oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mencatatkan sebanyak 9 pelanggaran arahan telah didapati semalam 14 Disember 2021 yang bermula pada jam 10 malam sehingga 4 pagi. 

Pelanggaran arahan mengikut urutan daerah ; 

5 kesalahan di Daerah Brunei Muara 

4 kesalahan di Daerah Tutong 

Semasa fasa endemik ini, orang ramai adalah ditegaskan untuk tidak bersikap mudah dan alpa dengan kelonggaran yang diberikan pihak kerajaan. Jangan mementingkan diri sendiri, sentiasa kekal berwaspada dengan melindungi diri sendiri dan kesannya mampu melindungi satu sama yang lain.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI