BELAIT, Jumaat 19 Nov 2021 – Balai Polis Seria, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan mengenai kemalangan dua (2) buah kenderaan yang berlaku di kawasan Pusingan-U (U-turn) Jalan Badas, Seria. 

Kejadian yang berlaku pada 18 November 2021 sekitar jam 5.30 petang itu telah mengakibatkan kecederaan teruk kepada salah seorang pemandu (mangsa) dan telahpun dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait bagi menjalani pembedahan segera kerana menghadapi masalah luka dalaman. Manakala, seorang lagi pemandu berada dalam keadaan yang stabil. 

Hasil daripada pembedahan yang dijalankan mangsa kemudiannya dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) bagi menjalani rawatan dan pemantauan penuh. Mangsa selanjutnya telah disahkan meninggal dunia pada 19 November 2021 sekitar jam 5.53 pagi akibat daripada kecederaan teruk di bahagian organ dalaman mangsa. 

Mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 20 tahun. 

 Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis. 

PPDB ingin mengingatkan kepada pengguna-pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati dan sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan pemanduan, terutama sekali aspek kawalan had laju, penglihatan yang jelas, sentiasa bersikap tolak ansur, lebih-lebih lagi pemanduan semasa waktu malam.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI