GADONG, Rabu 27 April 2022 – Membudayakan pembacaan Al-Quran di kalangan warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) khususnya di Bulan Ramadhan yang mubarak ini merupakan langkah pencetus kepada syiar keagungan dan metod dakwah yang meletakkan agama Islam sebagai sesuatu yang sangat dihormati dan disanjungi. Kandungan dan perisian Al-Quran yang sarat dengan berbagai pengajaran utama ini mampu memandu para pengamalnya kepada kehidupan dan urusan yang sangat istiqamah sehari-hari. 

Oleh itu, Satu Majlis Tadarus Al-Quran sempena Nuzul Al-Quran anjuran Badan Ugama Islam (BUI), PPDB telah diadakan di Surau Polis Gadong, PPDB petang tadi. 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali. 

Turut hadir di majlis yang penuh keberkahan itu ialah para-para pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai serta warga kakitangan dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei. 

Acara dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Zohor berjemaah yang dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar dan seterusnya diikuti dengan acara Tadarus Al-Quran dan bacaan Sayyidul Istighfar. 

Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan dan kesejahteraan kepada semua anggota PPDB dan seluruh penduduk Negara Brunei Darussalam bersempena bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI