GADONG, Khamis 21 April 2022 – Kelebihan dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala di bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan lain iaitu memberikan peluang kepada umat Islam meraih pahala yang berlipat ganda dalam melakukan segala amal kebajikan.
Antara amalan-amalan berkebajikan yang kerap diungkayahkan di sepanjang bulan Ramadhan adalah memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim serta kepada mereka yang memerlukan.
Sehubungan itu, seramai 93 orang anak yatim warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima sumbangan derma pada majlis yang dikendalikan secara pandu lalu bertempat di kawasan Lobi Mess, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.
Hadir menyampaikan derma-derma tersebut ialah Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali bersama Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku Yang Dipertua PEKERTI.
Turut hadir bagi sama-sama menyampaikan derma berkenaan ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Awang Sulaiman bin Alidin dan Yang Mulia Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong selaku Pengerusi PEKERTI.
Majlis ini merupakan acara tahunan yang menyatukan rangkaian kerjasama di antara Jawatankuasa Mes Pegawai, Jawatankuasa Tertinggi Badan Kebajikan dan Sukan PPDB dan juga Persatuan Perkumpulan Isteri-Isteri dan keluarga Polis (PEKERTI).
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang di pimpin oleh APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Polis Gadong.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
