MUARA, Sabtu 29 Okt 2022 – Eksesais Sembilang siri 16/22 yang dikelolakan bersama oleh Polis Marin Pasukan Polis Diraja Brunei (POLMAR PPDB) dan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dengan rasminya berakhir melalui satu majlis penutup yang telah diadakan di Ibu Pejabat Polis Marin, Muara pada 27 Oktober 2022.
Majlis penutup Eksesais Sembilang 16/22 telah dirasmikan oleh Kepten Khairil Haji Abdul Rahman, Pemerintah Armada TLDB di mana beliau telah menekankan terhadap kepentingan kerjasama di antara TLDB dan POLMAR sebagai salah satu pendekatan Whole of Government dalam memastikan keselamatan maritim sentiasa terjaga. Beliau turut mempelawa POLMAR untuk menyertai rondaan maritim bersama TLDB untuk menyambung kembali Operasi Sembilang yang telah ditangguhkan sejak pandemik COVID-19.
Semasa eksesais yang dijalankan selama empat (4) hari yang bermula pada hari Isnin, 24 Oktober 2022 sehingga hari Khamis, 27 Oktober 2022 ini telah merungkai pebagai tatacara solusi dalam menangani isu-isu maritim terutamanya Illegal, Unreported and Unregulated Fishing (IUUF).
Di samping itu, latihan joint compliant boarding telah pun dijalankan semasa fasa di kawasan laut melibatkan rigid inflatable boat daripada Grup Tindak Permukaan Laut serta Kapal Peronda Laju KDB SYAFAAT.
Selaku agensi-agensi keselamatan yang memainkan peranan penting dalam memelihara keselamatan maritim Negara Brunei Darussalam, anggota-anggota dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Polis Marin (POLMAR) telah berhasil dalam menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan tahap kemahiran dalam menangani isu-isu maritim.
Bagi mengeratkan lagi hubungan kerjasama di antara kedua-dua agensi serta meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan, acara sukan interaksi diadakan di mana Piala Sembilang telah dimenangi oleh POLMAR bagi tahun ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
