TUNGKU, Isnin 21 Mac 2022 – Seramai 20 orang pegawai kanan yang mempunyai pengalaman bertugas di pelbagai bidang di dalam Pasukan Polis Diraja Brunei akan mengikuti program yang dirancang berjalan selama enam (06) minggu sepenuh masa yang merangkumi pembelajaran secara teori. 

Program ini adalah hasil kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei dan Institut Kepimpinan, Innovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang di olah khusus mengikut kehendak dan keperluan Pasukan bagi pegawai-pegawai pengurusan pertengahan berupa pengetahuan lanjutan mengenai dasar dan urustadbir, pendedahan terhadap perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam mendokong hasrat negara untuk mencapai Wawasan 2035 serta modul-modul kepimpinan dan pengurusan yang menjurus kepada nilai-nilai kefahaman Islam. 

Objektif utama program ini adalah untuk menaiktaraf pengetahuan dan kemahiran para pegawai dalam bidang yang khusus lagi bersesuaian agar tugas dan tanggungjawab yang ditanai akan memberi impak yang berkesan lagi terarah. Program ini juga akan melatih para pegawai untuk berdepan dengan pelbagai ujian berbentuk tekanan terhadap situasi di luar zon selesa masing-masing. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Pengarah Pentadbiran Am & Kewangan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Yang Mulia Awang Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali yang juga turut merasmikan majlis pembukaan program tersebut. 

Turut hadir ialah Yang Mulia Pg Dr Mohammad Iskandar bin Pg Haji Petra, Penolong Naib Canselor (Urusan Akademik) UBD, Yang Mulia Dr. Jainatul Halida bte Hj Jaidin, Pengarah Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA) UBD beserta para pengarah PPDB dan peserta program. 

Majlis diadakan di Bilik Persidangan ILIA, Aras Bawah, Bangunan ILIA, UBD, Tungku yang dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan tetamu kehormat majlis, doa selamat dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai. 

Di dalam ucapan beliau telah menyatakan bahawa kepimpinan merupakan salah satu komponen penting bagi sesebuah organisasi dalam mencapai sesuatu objektif serta matlamat yang sama. Kejayaan sesebuah organisasi sebahagian besarnya bergantung kepada keberkesanan pemimpin dalam mempengaruhi, menyokong serta memimpin wargakerjanya mencapai misi yang dihasratkan. Beliau percaya, program selama 6 minggu ini akan dapat mempersiapkan dan melengkapkan peserta kursus dengan pengetahuan lanjutan yang diperlukan agar menjadi seorang pemimpin yang berkesan. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI