GADONG, Sabtu, 2 Mei 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini telah mengadakan Majlis Penandatanganan Kontrak Pembekalan dan Perkhidmatan Penyewaan Kenderaan bagi kategori kereta untuk tempoh lima tahun, yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menandatangani bagi pihak Kerajaan ialah Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Pemangku Setiausaha Tetap Sekuriti Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM). Turut menandatangani bagi pihak PPDB ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bagi pihak Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Yang Mulia Dato Paduka Haji Zailani bin Haji Ismail bagi pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Yang Mulia Hajah Suraidah binti Haji Muhammad Daud bagi pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN).

Hadir sama bagi menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, di samping para pengarah dan pegawai kanan PPDB serta agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan.

Majlis berkenaan menyaksikan pemeteraian perjanjian antara agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan dengan tiga buah syarikat yang dilantik sebagai pembekal dan penyedia perkhidmatan, iaitu Syarikat Samakday Sendirian Berhad yang diwakili oleh pengarahnya, Sii Lik Hung; Carserve Company yang diwakili oleh Pengurus Besar, Thomas Ling Siu Leh; serta Inchcape Services Sendirian Berhad yang diwakili oleh pengarahnya, Yang Mulia Haji Ahmad Omar bin Pehin Dato Haji Hussin.

Secara keseluruhannya, 304 buah kenderaan sewaan akan dibekalkan, merangkumi pelbagai kategori iaitu sedan, kenderaan pelbagai guna (SUV), van, bas, trak ringan dan kab berganda.

Perjanjian ini turut merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Konsolidasi Fiskal (FCP) yang diterajui oleh JPM bersama Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dalam mempertingkat kecekapan perbelanjaan kerajaan dan memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Melalui pemeteraian kontrak ini, ia diharapkan dapat menyokong keperluan operasi harian agensi keselamatan dan penguatkuasaan, di samping memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan pihak Kerajaan dalam memastikan kemudahan dan sumber sokongan sentiasa mencukupi serta selaras dengan keperluan semasa.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI