BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat 31 Dis 2021 – Pada 1 Januari 2022, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah genap menjangkau usianya yang ke-101 tahun. Bersempena tarikh penubuhannya, PPDB telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaasin dan Doa Kesyukuran Sempena Penubuhan 101 Tahun Bagi Tahun 1443H/2022M yang berlangsung di Masjid Ash Shaliheen Jalan Perdana Menteri Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis (CP) PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) PPDB, Yang Mulia Sulaiman bin Alidin, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Yang Mulia Mohamad Amirruddin bin Haji Tunjang selaku Pengerusi Badan Ugama Islam (BUI), para pengarah dan timbalan pengarah jabatan, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota serta warga kakitangan awam PPDB.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah diimamkan oleh Imam Surau Polis Gadong, Yang Mulia APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar bagi memohon keberkatan agar warga pasukan akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan dalam melaksanakan tugasan mencegah dan membenteras jenayah, dihindari dari segala kesukaran dan kecelakaan dalam menjalankan tugasan harian.
Majlis diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Asar berjemaah diimamkan oleh Imam masjid Ash Shaliheen Yang Mulia Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran dan kemudian disusuli dengan bacaan Surah Yaasin dan bacaan Doa Kesyukuran.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
