GADONG, Khamis 6 Okt 2022 – Seramai 58 orang murid sekolah ugama anak-anak Pasukan Polis Diraja Brunei diraikan pada majlis khatam Al-Quran setelah berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran 30 juz, hari ini. 

Majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis itu dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin dan datin selaku tetamu kehormat majlis yang turut merenjis minyak wangi dan menyampaikan sijil khatam kepada murid-murid yang diraikan. 

Majlis yang merupakan aktiviti tahunan sekolah berkenaan adalah bagi menepati hasrat kerajaan dalam melahirkan generasi celik Al-Quran. Ia dihasrat dapat memberi galakan kepada murid-murid untuk sentiasa membaca Al-Quran dengan betul dan lancar di samping memastikan murid-murid dapat mengkhatamkan Al-Quran sebelum mereka menamatkan Darjah 6 persekolahan agama. 

Selain itu, majlis juga dapat mengeratkan kerjasama dan perpaduan antara ibu bapa/penjaga, guru dan murid-murid dalam sama-sama mengendalikan majlis-majlis keagamaan di sekolah. 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan Surah-Surah oleh peserta khatam. 

Manakala itu, Takhtim dibacakan oleh murid-murid perempuan sekolah berkenaan dan Doa Khatam dibacakan oleh peserta khatam. 

Majlis diserikan dengan laungan Dikir Marhaban oleh murid-murid lelaki sekolah berkenaan dan bagi memberkati majlis, bacaan doa selamat dibacakan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.​

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​