GADONG, Rabu 24 Ogos 2022 – Majlis Khatam Al-Quran merupakan salah satu acara yang diselitkan di dalam program upacara sebelum perbarisan tamat latihan bagi pelatih-pelatih rekrut Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada petang tadi. 

Majlis Khatam yang diungkayahkan oleh Pusat Latihan Polis (PLP) telah berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Ibu Pejabat Polis Gadong yang melibatkan pelatih-pelatih pengambilan Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2021 seramai 141 orang pelatih. 

Majlis yang diraikan diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei bersama Pengiran Datin. 

Turut hadir Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Datin, para pengarah dan timbalan pengarah, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, pegawai-pegawai kanan serta ahli-ahli keluarga para pelatih rekrut yang diraikan. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al – Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran diketuai oleh rekrut 6881 Mohammad Asmawi bin Haji Abu Bakar. 

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan takhtim Al-Quran diketuai oleh rekrut 6895 Muhammad Izzan Nazmi bin Mahmood dan diakhiri dengan bacaan doa khatam dan doa selamat oleh rekrut 6945 Muhammad Fikri bin Haji Masri. 

Seterusnya acara menabur bunga rampai yang dimulakan oleh tetamu kehormat dan disusuli oleh jemputan dan ahli keluarga pelatih. 

Para pelatih-pelatih rekrut skuad 1/2021 ini akan menamatkan latihan kepolisan dengan Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang akan diadakan pada 25 Ogos 2022 bertempat di Padang Kawad Besar Pusat Latihan Polis (PLP).

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​