GADONG, SELASA 14 APRIL 2026 – Pada Menjunjung Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 16 orang pegawai daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dinaikkan pangkat yang berkuatkuasa bermula pada 8 April 2026.

Satu majlis bagi meraikan kenaikan pangkat pegawai-pegawai berkenaan telah berlangsung di Ruang Legar Paduka Seri, Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis PPDB, bersama Yang Mulia Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong selaku Yang Dipertua Pekerti.

Turut hadir Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, bersama Pengarah-Pengarah, Timbalan Pengarah dan pegawai-pegawai kanan PPDB, serta ahli keluarga pegawai-pegawai yang diraikan.

Pegawai-pegawai yang diraikan terdiri daripada lima (5) orang pegawai yang dinaikkan ke pangkat Ketua Inspektor (C/INSP) dan sebelas (11) orang yang dinaikkan ke pangkat Inspektor Kanan (SNR INSP).

Kenaikan pangkat ini merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha gigih dan sumbangan berterusan pegawai-pegawai dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Ia juga diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang dan berintegriti.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI