BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 12 Jun 2026 — Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta (USPRCK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes kecurian kenderaan secara bersiri.

Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam lapan kes kecurian kereta, satu kes kecurian motosikal dan satu kes kecurian barang dari dalam kenderaan yang berlaku di beberapa lokasi merentasi Daerah Brunei-Muara, Tutong dan Belait.

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di mana Pendakwa Raya memohon perintah reman bagi melengkapkan penyediaan pertuduhan melibatkan kesemua kes tersebut. Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan dan suspek kini ditahan di Penjara Maraburong sementara menunggu pertuduhan dibacakan.

Sehubungan itu, PPDB menasihatkan pemilik kenderaan agar sentiasa memastikan kenderaan dikunci dengan sempurna, tidak meninggalkan kunci atau barang berharga di dalam kenderaan, serta meletakkan kenderaan di kawasan yang selamat dan mempunyai pencahayaan yang mencukupi. 

Pemilik kenderaan yang lama turut digalakkan memasang ciri-ciri keselamatan tambahan seperti alat penggera, kunci stereng atau sistem pengesan kenderaan bagi meningkatkan tahap perlindungan. Kerjasama dan keprihatinan masyarakat adalah penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras jenayah serta memastikan keselamatan harta benda sentiasa terpelihara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI