KUALA BELAIT, SABTU, 24 OKTOBER 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Seria, Daerah Polis Belait telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun bagi membantu siasatan berhubung sebuah video tular yang memaparkan kejadian kemalangan jalan raya di Lebuhraya KM 22 menghala ke Kuala Belait.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan melawan arus lalu lintas sehingga mengakibatkan perlanggaran dengan sebuah kenderaan lain. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut. Suspek telah dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 26(1), Akta Lalu Lintas Jalan Raya (Penggal 68), atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Sehubungan itu, PPDB ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol, memandu dengan berhemah serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
