BRUNEI-MUARA, SABTU, 24 OKTOBER 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Singapore Police Force (SPF) telah mengadakan Kursus VVIP Escort (Pengiringan Bermotosikal) Tahun 2026 selama dua minggu.

Kursus ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PPDB dalam mempertingkatkan profesionalisme, kemahiran taktikal dan kecekapan operasi anggota yang terlibat dalam tugas pengiringan keselamatan orang kenamaan (VVIP).

Kursus berkenaan dikendalikan oleh lima orang tenaga pengajar daripada SPF dengan bantuan jurulatih PPDB, serta disertai oleh 40 orang anggota PPDB, termasuk anggota Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pengiring Bermotosikal Polis Kawalan Diraja dan formasi lain di bawah PPDB.

Kursus ini dibahagikan kepada dua komponen utama. Komponen pertama, Train-the-Trainer, berlangsung sepanjang tempoh kursus bagi memperkukuh keupayaan jurulatih tempatan dalam mengendalikan latihan secara berterusan. Komponen kedua, VVIP Escort Course, diadakan pada minggu kedua dengan penekanan terhadap kemahiran taktikal dan pelaksanaan tugas pengiringan VVIP secara selamat, teratur dan berkesan.

Sepanjang kursus, para peserta telah didedahkan kepada pelbagai aspek pengiringan bermotosikal, termasuk teknik dan formasi pengiringan, koordinasi pergerakan secara berpasukan, pengendalian situasi kecemasan serta latihan simulasi dan praktikal di jalan raya.

Kursus ini merupakan kesinambungan kerjasama latihan antara PPDB dan SPF yang telah terjalin sejak tahun 2016 menerusi Basic Enforcement Riding Course dan Enhanced Enforcement Riding Course, sebelum diperluaskan kepada latihan khusus dalam pengiringan VVIP.

Selain meningkatkan kesiapsiagaan operasi, kursus ini turut memperkukuh hubungan kerjasama dan perkongsian kepakaran antara kedua-dua pasukan polis. Usaha ini mencerminkan komitmen PPDB dalam memastikan anggota sentiasa bersedia untuk melaksanakan tugas pengiringan keselamatan, khususnya bagi mendukung kelancaran acara rasmi dan kebesaran negara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI