BELAIT, Ahad 28 Nov 2021 – Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan mengenai insiden seorang individu (mangsa) ditemui terbaring tidak sedarkan diri yang berlaku di kawasan berdekatan stesen janakuasa elektrik, Pasar Serbaneka Kuala Belait. 

Kejadian berkenaan dilaporkan pada 28 November 2021 sekitar jam 7 pagi melalui talian kecemasan polis 993. Sejurus, maklumat diterima keanggotaan penyiasat balai segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan. 

Turut hadir ialah ahli paramedik bertugas yang turut mengesahkan kematian mangsa berkenaan di tempat kejadian. 

Mangsa merupakan seorang lelaki warganegara asing berumur 52 tahun dan bekerja sebagai buruh di salah sebuah syarikat di Daerah Belait. Mangsa yang mati telah dihantar ke Hospital RIPAS bagi menjalani bedah siasat bagi mendapatkan punca sebenar kematian. 

PPDB memohon kepada orang ramai terutama saksi-saksi yang mengetahui atau ada menyaksikan insiden berkenaan disarankan untuk tampil ke balai-balai polis berdekatan bagi memberikan kerjasama kepada Pihak Polis bagi membantu siasatan. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI