Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Bahagian Latihan, Jabatan Pentadbiran Am dan Kewangan sedang mengendalikan Kursus Rundingan Krisis (Crisis Negotiation Course) yang berlangsung dari 15 hingga 27 Ogos 2026. Kursus ini dikendalikan dengan kerjasama enam orang tenaga pengajar daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai oleh DCP Datuk M.V. Srikumar Madhavan Nair.
Sempena kursus tersebut, Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Sulaiman bin Alidin, telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi PDRM di Bilik Persidangan Putera Negara, Mes Pegawai PPDB. Dalam kunjungan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai latihan dan pembangunan pegawai serta berkongsi pengalaman dalam bidang rundingan krisis.
Seramai 25 orang pegawai PPDB menyertai kursus ini yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan situasi krisis, khususnya dalam aspek komunikasi, pengurusan tekanan, penilaian situasi dan membuat keputusan semasa rundingan.Kursus ini juga merangkumi sesi khas mengenai pengurusan tekanan dan kebimbangan bagi perunding krisis dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Kursus ini merupakan salah satu usaha PPDB untuk terus meningkatkan kemahiran dan kesiapsiagaan pegawai dalam menangani situasi krisis, khususnya insiden yang memerlukan rundingan secara teratur dan berkesan. Disamping itu, kerjasama ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan antara PPDB dan PDRM, khususnya dalam bidang latihan, perkongsian pengalaman dan kepakaran kepolisan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
