KUALA LUMPUR, 6–8 Mei 2026 – Lawatan kerja rasmi Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin bersama delegasi PPDB ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperkukuhkan hubungan dua hala, kolaborasi strategik serta kerjasama kepolisan antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi PPDB telah melaksanakan beberapa agenda utama termasuk kunjungan hormat ke Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Mesyuarat Dua Hala bersama kepimpinan tertinggi PDRM, lawatan ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, tinjauan ke Pusat Simulasi Taktikal (PST) serta lawatan kerja ke National Scam Response Centre (NSRC), Cyberjaya.
Ketibaan Dato Pesuruhjaya Polis bersama delegasi di Bukit Aman telah disambut oleh Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), Yang Dihormati DIG Tan Sri Ayob Khan bin Mydin Pitchay bersama barisan Pengarah dan pegawai kanan PDRM. Upacara Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama turut dilaksanakan melibatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP).


Mesyuarat dua hala yang dipengerusikan oleh Timbalan KPN, telah memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama dalam menangani ancaman jenayah siber, penipuan dalam talian, jenayah komersil, jenayah rentas sempadan dan jenayah transnasional. Kedua-dua pihak turut membincangkan usaha mempertingkatkan perkongsian maklumat risikan, penyelarasan operasi bersama, pembangunan kapasiti, latihan kepolisan serta kerjasama melalui platform INTERPOL dan ASEANAPOL.
Delegasi PPDB turut mengadakan kunjungan hormat ke atas KPN, Yang Dihormati IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid bin Hj. Ismail bagi membincangkan pengukuhan hubungan institusi, pembangunan profesionalisme pasukan serta hala tuju kerjasama strategik kedua-dua pasukan polis.


Di PULAPOL Kuala Lumpur, delegasi PPDB telah diberikan taklimat mengenai struktur dan pengoperasian latihan kepolisan selain mengadakan tinjauan ke Pusat Simulasi Taktikal (PST). Delegasi turut menyaksikan demonstrasi menyelamat tebusan oleh Unit Tindak Khas (UTK), PDRM yang mempamerkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan taktikal pasukan dalam menangani ancaman keselamatan berisiko tinggi.
Lawatan kerja ke NSRC, Cyberjaya pula memberi pendedahan kepada delegasi mengenai mekanisme operasi Malaysia dalam menangani jenayah penipuan dalam talian termasuk pelaksanaan “stop payment”, pengesanan aliran wang serta penyelarasan tindakan antara PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi kewangan dan agensi berkaitan.



Secara keseluruhannya, lawatan kerja rasmi ini telah berjaya memperkukuhkan persefahaman, hubungan profesional dan jaringan kerjasama strategik antara PPDB dan PDRM, khususnya dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, latihan kepolisan, perkongsian risikan serta pembangunan kapasiti. Lawatan ini turut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pasukan polis dalam memperluaskan kerjasama dua hala demi kepentingan keselamatan dan kestabilan serantau.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
