GADONG, KHAMIS, 30 JULAI 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini telah menerima kunjungan daripada delegasi INTERPOL Global Complex for Innovation (IGCI), bertempat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei.

Delegasi IGCI diketuai oleh Tomonobu Kaya, Pengarah INTERPOL Financial Crime and Anti-Corruption Centre (IFCACC), dan turut disertai oleh Muhammad Arrafi Ali, Pegawai Perisikan Jenayah, IFCACC, IGCI.

Hadir mewakili PPDB ialah Penguasa Kanan Polis Handrie bin Haji Amin, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, bersama pegawai – pegawai dari Bahagian Latihan, Pejabat Urussetia Pesuruhjaya Polis, serta Unit Hal Ehwal Antarabangsa, INTERPOL dan ASEANAPOL.

Antara tujuan utama kunjungan berkenaan adalah untuk memperkenalkan Pengarah IFCACC yang baru, di samping memberikan penerangan mengenai projek dan keupayaan baharu yang ditawarkan oleh IFCACC dalam menangani jenayah kewangan dan rasuah pada peringkat antarabangsa.

Sesi perbincangan turut memberi peluang kepada PPDB untuk berkongsi cabaran semasa dalam menangani jenayah kewangan, rasuah dan jenayah rentas sempadan, serta membincangkan peluang memperkukuh kerjasama dalam perkongsian maklumat dan risikan, pembangunan kapasiti, latihan dan sokongan penyiasatan yang mempunyai kaitan antarabangsa.

Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen berterusan PPDB untuk memperkukuh jaringan kerjasama dengan INTERPOL, khususnya melalui IFCACC dan IGCI, demi meningkatkan keupayaan pegawai penguat kuasa dalam menghadapi ancaman jenayah kewangan yang semakin kompleks dan berkembang merentasi sempadan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI