BELAIT, Jumaat 7 Jan 2022 – Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengesahkan berlakunya satu kejadian kemalangan jalan raya yang telah meragut nyawa seorang lelaki warga emas semalam. 

Kejadian tersebut telah dilaporkan melalui talian kecemasan 993 pada 6 Januari 2022 jam 7.30 malam yang berlaku di kawasan pusingan U, Lebuhraya Lumut KM 84.1 Daerah Belait. 

Hasil daripada siasatan awal di tempat kejadian mendapati insiden kemalangan adalah melibatkan dua (2) buah kenderaan dan dipercayai seorang pemandu didapati tidak sedarkan diri akibat daripada implikasi rempuhan kemalangan. 

Turut hadir semasa kejadian tersebut adalah keanggotaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu mengeluarkan mangsa daripada kenderaannya. Sejurus selepas itu, kesemua mangsa segera dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait dengan bantuan pihak Ambulans bertugas. 

Hasil siasatan Pihak Polis mendapati, mangsa yang maut (pemandu) merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 63 tahun telah mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala, tangan dan belakang badan. Sementara itu, mangsa-mangsa kemalangan yang lain adalah dalam keadaan stabil. 

Walau bagaimanapun, Pihak Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan kematian. 

Di kesempatan ini, PPDB menegaskan kepada orang ramai terutama pengguna-pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, menitikberatkan aspek keselamatan yang melibatkan kawalan had laju, pemakaian tali pinggang keselamatan, sentiasa peka dan bertolak ansur lebih-lebih lagi memandu sewaktu di malam hari. 

Jangan memandu dalam keadaan dipengaruhi dengan ubat-ubatan atau sebagainya kerana boleh mendatangkan mengantuk dan kelalaian yang boleh sahaja mengakibatkan kemalangan berlaku.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI