MUARA, Jumaat 22 Julai 2022 – Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengesahkan satu laporan mengenai kemalangan dua buah kenderaan yang telah meragut nyawa seorang pemandu.
Kejadian tersebut telah dilaporkan melalui talian kecemasan 993 pada 21 Julai 2022 sekitar jam 11.50 pagi yang berlaku di kawasan Jalan Serasa, Muara.
Sejurus laporan diterima, pegawai penyiasat segera pergi ke tempat kejadian dan mendapati ada seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan tersebut masih berada di kenderaannya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Manakala sebuah lagi kenderaan telah terbabas ke tepi jalanraya lalu memasuki ruangan longkang di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun pemandu berkenaan dalam keadaan selamat.
Paramedik bertugas yang berada ditempat kejadian telah membuat pemeriksaan dan seterusnya mengesahkan bahawa pemandu yang tidak sedarkan diri itu telahpun meninggal dunia.
Hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa yang maut (pemandu) merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 69 tahun dan dipercayai dalam perjalanan untuk pulang ke rumah.
Menerusi insiden kemalangan ini, pihak polis masih lagi membuat penyiasatan rapi bagi mengetahui akan punca sebenar kemalangan berlaku.
Di kesempatan ini, PPDB menegaskan kepada orang ramai terutama pengguna-pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, menitikberatkan aspek keselamatan yang melibatkan kawalan had laju, pemakaian tali pinggang keselamatan, sentiasa peka dan juga menanamkan sifat bertolak ansur.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
