BELAIT, Ahad 17 April 2022 – Balai Polis Seria, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan mengenai kemalangan dua (2) buah kenderaan yang berlaku di kawasan Tiang Lampu Isyarat, Lorong Tiga Seria, Daerah Belait.
Kejadian yang berlaku pada 16 April 2022 sekitar jam 10.55 malam itu, telah meragut nyawa seorang pemandu dipercayai kesan daripada pertembungan kenderaan sehingga mengakibatkan mangsa tercampak keluar daripada kenderaannya.
Hasil siasatan awal daripada insiden kemalangan, mangsa yang maut adalah seorang lelaki warganegara asing berumur 43 tahun sedang memandu kenderaan bersama temannya (penumpang) menuju ke kawasan lampu isyarat lorong tiga Seria. Semasa lampu isyarat bertukar warna hijau, mangsa pun memulakan perjalanan dan tiba-tiba sebuah kenderaan dari arah hala kanan didapati sedang dipandu tanpa henti walaupun lampu isyarat pada ketika itu sedang bernyala berwarna merah.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
PPDB ingin mengingatkan kepada pengguna-pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati dan sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan pemanduan, terutama sekali aspek kawalan had laju, penglihatan yang jelas, sentiasa besikap tolak ansur, lebih-lebih lagi pemanduan semasa waktu malam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
