TUTONG, Rabu 8 Jun 2022 – Keanggotaan Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan siasatan ke atas seorang individu lelaki yang dipercayai terlibat dengan kejadian curi di kawasan perumahan perpindahan Bukit Beruang, Daerah Tutong.
Laporan aduan telah diterima pada 3 Jun 2022 memaklumkan pintu stor rumah pengadu telah diceroboh masuk dan beberapa barangan telah didapati hilang.
Siasatan telah dijalankan sehingga pada 7 Jun 2022, satu maklumat telah dikongsikan daripada orang awam berkenaan seorang lelaki yang tidak dikenali ada berada di kawasan perumahan berkenaan dalam keadaan yang mencurigakan.
Maklumat tersebut segera dikongsikan ke Pihak Polis sehingga berjaya membuat penahanan ke atas lelaki berkenaan (suspek) bagi menjalani siasatan.
Hasil daripada siasatan yang dijalankan, suspek telah dipercayai ada terlibat dengan kejadian curi ke atas sebuah rumah dan barang-barang bukti turut ditemukan bagi menyempurnakan kertas siasatan pihak polis.
Suspek yang ditahan adalah seorang lelaki, warganegara tempatan berumur 21 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Berikutan dengan penemuan itu, suspek turut berdepan dengan kesalahan di bawah seksyen 380 dan 427 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu curi dan rosak barang.
Di kesempatan ini, PPDB menyeru dan menegaskan kepada orang ramai agar sentiasa mengongsikan sebarang maklumat mencurigakan ke talian kecemasan polis 993 bagi sebarang tindakan mengenainya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
