KUALA BELAIT – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai beberapa kejadian kerosakan harta benda yang berlaku di beberapa lokasi di sekitar Kuala Belait, termasuk kawasan Pandan 4, Jalan Bunga Simpur, Jalan Pretty, Jalan Bunga Raya, Jalan Bunga Tanjung dan Jalan Bunga Rambai, dimana sebanyak sepuluh (10) laporan polis telah diterima oleh Balai Polis Kuala Belait.
Hasil siasatan awal dan tindakan pihak polis, seorang lelaki tempatan berumur 55 tahun telah berjaya ditahan untuk siasatan lanjut. Suspek tersebut juga dipercayai terlibat dengan satu (1) laporan polis berkaitan satu kejadian pukul. Pada masa ini, suspek menerima rawatan di Unit Kesihatan Mental, Hospital Suri Seri Begawan.


Dalam pada itu, PPDB menyeru mana-mana orang awam yang mendapati harta benda mereka mengalami kerosakan atau menjadi mangsa kejadian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan individu berkenaan agar tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Belait bagi membantu siasatan.
PPDB turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjaga keselamatan diri dan harta benda masing-masing. Orang ramai juga digalakkan untuk memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kediaman dan premis perniagaan sebagai salah satu langkah keselamatan dan pencegahan, di samping membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak polis amat dihargai dalam usaha bersama menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
