TEMBURONG, Ahad 12 Dis 2021 – Sebuah kenderaan mencurigakan telah bertindak memecut laju melarikan diri sejurus menyedari akan kehadiran pihak polis. Insiden seterusnya diikuti dengan adegan kejar mengejar dan berakhir dengan kejadian kemalangan melibatkan kenderaan suspek.
Kejadian tersebut berlaku pada 11 Disember 2021 sekitar jam 7.36 malam di kawasan penurunan perahu Kg Meniup, Daerah Temburong. Menurut siasatan awal yang dijalankan, semasa kejadian tersebut keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sedang giat menjalankan rondaan rutin pencegahan jenayah lalu mendapati seorang individu (suspek) sedang memunggah barangan daripada sebuah perahu ke dalam kenderaan suspek.
Suspek lalu segera memasuki kenderaan dan melarikan diri bersama 2 orang penumpang di dalamnya. Suspek telah melakukan pemanduan yang merbahaya di sepanjang pemanduan dari Kg Bokok sehingga Ke Kg Sibulu mengakibatkan hilang kawalan lalu merempuh pagar besi keselamatan jalanraya. Kesemua suspek dalam keadaan stabil dan tidak cedera.
Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan telah mendapati sebanyak 96 botol dan 347 tin minuman keras pelbagai jenama telah ditemukan. Di samping itu juga, penemuan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah juga turut dirampas bagi siasatan.
Suspek (pemandu) merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 47 tahun, manakala dua (2) orang suspek (penumpang) lagi adalah perempuan warganegara tempatan yang berumur 36 dan 41 tahun.
Kesemua barang tegahan dan penemuan peralatan dadah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi siasatan lanjut.
PPDB akan meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan zon panas bagi memastikan negara bebas dari jenayah rentas sempadan.
Di samping itu, PPDB juga mengingatkan kepada masyarakat agar memainkan peranan sewajarnya sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan tampil atau mengongsikan membuat laporan jika mengesan aktiviti dan individu yang mencurigakan di kawasan mereka.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
