BRUNEI MUARA, Jumaat 9 Dis 2022 – Seorang pemandu telah ditahan semasa sekatan jalanraya yang dikendalikan oleh keanggotaan Jabatan Siasatan & Kawalan Lalulintas (JSKLL) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 08 Disember 2022 di kawasan Jalan Utama Mentiri hala Sg. Akar, Daerah Brunei Muara. 

Penahanan dibuat hasil daripada pemeriksaan kenderaan yang dijalankan dan telah menemukan sejumlah bungkusan-bungkusan kotak yang mencurigakan diletakkan di kawasan tempat duduk penumpang bahagian depan, belakang dan bonet kenderaan. 

Pemeriksaan awal kemudian dilakukan ke atas kotak-kotak berkenaan dan telah mendapati ianya merupakan barang-barang tegahan. Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) segera dihubungi bagi mengambil alih tindakan selanjutnya. 

Pemandu (suspek) berkenaan merupakan seorang lelaki warganegara tempatan dan berumur 18 tahun. Hasil daripada maklumat yang dikongsikan oleh pihak JKED iaitu jumlah barang rampasan sejumlah; 

1- 504 tin bir 

2- 120 botol bir 

3- 36 botol wines 

4- 2 unit rokok elektronik 

5- 51 paket rokok pelbagai jenama. 

Suspek beserta kesemua barang rampasan diserahkan ke pihak JKED bagi siasatan lanjut. 

PPDB melalui JSKLL akan sentiasa menjalankan rondaan dan sekatan jalanraya di kawasan-kawasan yang ditetapkan bagi memastikan para pemandu serta penumpang jalanraya akan sentiasa akur dan patuh akan garis pandu dan perundangan yang telah ditetapkan di Negara Brunei Darussalam.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​