TEMBURONG, Sabtu 4 Jun 2022 – Melalui strategi pemantauan serta operasi pencegahan jenayah yang berterusan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Bangar telah berhasil mengesan serta menahan sebuah kenderaan bersama pemandunya yang dipercayai mencurigakan dan mempunyai penglibatan dengan kegiatan jenayah. 

Insiden tersebut berlaku pada 3 Jun 2022 sekitar awal malam, semasa keanggotaan detektif dan peronda Balai Polis Bangar sedang membuat operasi pemantauan di kawasan Bangar. Sejurus selepas itu, sebuah kenderaan saloon yang didapati dalam keadaan mencurigakan sedang menghala ke kawasan Labu dan anggota peronda bertugas segera dikerah untuk membuat sekatan jalanraya mengejut di kawasan berdekatan Brunei Bridge Authority (BBA). 

Ketika kenderaan yang mencurigakan menghampiri kawasan sekatan, pemandu kenderaan (suspek) bertindak melulu dengan tidak memberhentikan kenderaan bahkan mengambil tindakan memecut lari menghala memasuki Jambatan SHOAS. Aksi kejar mengejar kenderaan berkenaan lalu berlaku dan kemudiannya berjaya ditahan dikawasan KM.19 bersama pemandunya. Semasa menjalankan pemeriksaan, tiba-tiba berlaku percikan api dan kepulan asap yang keluar daripada bahagian bawah enjin kenderaan suspek dan mengakibatkan kebakaran ke atas kenderaan suspek. 

Pihak Bomba dan Penyelamat segera dihubungi bagi memberikan bantuan. Setelah api kebakaran behasil dipadamkan, pemeriksaan lalu dikendalikan dan mendapati terdapatnya ayam sayap mentah disimpan di kawasan kerusi belakang penumpang dan bonet belakang yang mana jumlahnya belum dapat dipastikan dan diketahui kerana sudah terbakar. 

Pemandu (suspek) adalah seorang lelaki warganegara tempatan berumur 32 tahun dan tidak bekerja. Suspek akan berdepan dengan 2 tuduhan kesalahan iaitu lari dan gagal berhenti semasa ditahan oleh Pihak Polis. 

Di samping itu, turut terlibat ialah bagi tindakan dan siasatan lanjut Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) ke atas suspek dan barang rampasan. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sentiasa berusaha dan bertindak lebih agresif dalam pembenterasan dan pengekangan terhadap penyeludupan barangan tegahan di negara ini dengan mempelbagaikan skop rondaan dan kawalan di kawasan-kawasan yang mempunyai potensi menjadi jalan tikus kepada kegiatan penyeludupan ini. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI