BRUNEI MUARA, JUMAAT, 14 OGOS 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menangkap 2 suspek lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam satu kes rompakan di sebuah kediaman di Kampung Tanjung Bunut yang berlaku baru-baru ini.
Semasa kejadian, mangsa yang merupakan seorang lelaki warganegara asing, telah mengalami kecederaan dan kerugian selepas suspek – suspek berjaya melarikan sejumlah wang tunai, sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta milik mangsa.
Hasil siasatan yang dijalankan, suspek pertama telah ditangkap pada 30 Julai 2026, manakala suspek kedua berjaya ditangkap pada 13 Ogos 2026 menerusi operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Perisikan Jenayah (JPJ), Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL) serta Daerah Polis Brunei-Muara.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu kesalahan merompak secara berkumpulan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
PPDB akan terus komited dalam membanteras jenayah serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah demi menjamin keamanan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Orang ramai turut diseru agar memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
