BRUNEI MUARA, Selasa 13 Dis – Seorang lelaki (suspek) telah ditahan dan disiasat oleh pihak polis kerana dipercayai menjual barangan permainan yang menyerupai senjata api. 

Ketika pemeriksaan dijalankan, keanggotaan Balai Polis Bandar Seri Begawan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) turut menemukan barangan bukti berupa permainan menyerupai senjata api jenis M16 dan juga Sniper. 

Suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bandar Seri Begawan bagi siasatan lanjut dan seterusnya dirujuk kepada pihak berwajib bagi pengesahan dan laporan pakar. 

Di kesempatan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa memiliki ataupun menjual barangan dan peralatan yang menyerupai senjata api di mana-mana platform media sosial adalah menjadi kesalahan dibawah peruntukan undang-undang di Negara Brunei Darussalam. 

Oleh itu, diingatkan dan ditekankan kepada orang ramai. Sepertimana Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Negara Brunei Darussalam, Penggal 58 iaitu sekatan mengimport mercun, bunga api dan sebagainya menyebutkan sesiapa sahaja tidak boleh mengimport, membuat, menjual atau memiliki apa-apa mercun atau bunga api atau yang mengandungi bahan letupan atau campuran bahan letupan. 

Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang tersebut boleh didakwa dan dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta hukuman tiga kali sebatan dan tidak melebihi 12 kali sebatan. 

Manakala bagi hukuman mengikut Peraturan 17 (2), Akta Senjata Api dan Bahan Letupan menyatakan mana-mana orang yang melanggar Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan adalah bersalah kerana melakukan satu kesalahan dan jika sabit akan dikenakan denda $3,000. 

Sementara mengikut seksyen 6, Undang-undang Kesalahan Kecil, Penggal 30 menyatakan mana-mana orang yang menyalakan atau membakar apa-apa bahan api hingga menyebabkan gangguan, kesulitan atau menimbulkan bahaya kepada orang awam, atau melepaskan apa-apa belon api atau roket di mana-mana jalan awam adalah bersalah dan boleh dihukum denda $250. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​