BRUNEI MUARA, Ahad 28 Nov 2021 – Dua (2) buah kenderaan mewah beserta sebuah (1) kereta pacuan empat roda berjaya ditemui kembali setelah dilaporkan hilang dipercayai dicuri pada 27 November 2021 sekitar jam 6.54 pagi.
Kejadian yang berlaku di kedai pengedar kenderaan Ford Premier Automobile, Perindustrian Beribi, Jalan Gadong itu telah mengaktifkan anggota penyiasat dan keanggotaan polis detektif dari Balai Polis Bandar Seri Begawan dan Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi kolaborasi menjejaki si penjenayah sehingga berhasil membuat penahanan ke atas 4 orang suspek dipercayai dalang kepada insiden pecah masuk dan kegiatan curi berkenaan.
Kesemua suspek adalah lelaki, melibatkan tiga (3) orang warganegara tempatan dan seorang warganegara asing. Dua (2) daripadanya berumur 18 tahun, 38 tahun dan seorang lagi melibatkan suspek di bawah umur.
Hasil siasatan awal juga mendapati beberapa barangan kedai turut dirosakkan dan dicuri seperti wang di dalam peti keselamatan, kerosakan kepada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) serta beberapa pintu-pintu di kedai tersebut. Kesemua barang bukti dibawa ke Balai Polis Bandar Seri Begawan bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah seksyen 379 (curi), seksyen 380 (curi di dalam bangunan) dan 427 (kesalahan rosak barang) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang boleh membawa kepada hukuman pemenjaraan dan juga sebat.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menegaskan kepada orang ramai agar bertindak lebih bijak dalam mencari hasil mata pencarian agar tidak terjerumus ke perlakuan jenayah demi kepentingan diri sendiri.
Institusi kekeluargaan amatlah penting dalam berperanan membentuk sahsiah para remaja agar tidak mudah terpengaruh dengan faktor persekitaran mahupun pergaulan sosial.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
