LUMAPAS, Ahad 12 Dis 2021 – Atas usaha kerjasama yang berterusan di antara Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam Operasi Sepadu Taskforce Security Covid-19 telah berjaya menemukan sejumlah barangan tegahan yang cuba dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam.
Kejadian berlaku pada awal pagi, 12 Disember 2021 ketikamana pasukan peronda sedang giat menjalankan rondaan rutin di kawasan perindustrian Kg Lumapas, Daerah Brunei Muara lalu mendapati 4 bungkusan kotak dipercayai barangan tegahan minuman keras telah diletakkan di atas tanah berdekatan kawasan berkenaan.
Sejurus pemeriksaan dijalankan pihak polis mendapati kotak-kotak tersebut mengandungi 96 tin minuman keras.
Barang-barang tegahan dibawa ke Balai Polis Kg Ayer untuk siasatan awal dan seterusnya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi tindakan selanjutnya.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa memastikan penugasan di kawasan sempadan dipantau dan diperketatkan lagi dari masa ke semasa. Ianya adalah untuk menyekat kemasukan individu-individu secara haram bagi mengekang penularan wabak COVID-19 selain membanteras kesalahan-kesalahan jenayah yang termaktub di dalam undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
