BRUNEI-MUARA, SELASA, 15 SEPTEMBER 2026 – Badan Ugama Islam (BUI) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Ceramah Sempena Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Tahun 1448H/2026M, bertempat di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, yang berlangsung pada 14 September 2026 lalu.
Tetamu kehormat, Yang Mulia Dato Paduka Seri Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis dan Yang Mulia Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong selaku Yang Di-Pertua PEKERTI turut sama-sama mendengar ceramah tersebut bersama pegawai-pegawai kanan, pegawai, anggota pangkat rendah dan kakitangan awam PPDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ceramah yang menyentuh mengenai kepentingan memperingati kelahiran junjungan besar Rasulullah S.A.W. sebagai salah satu bentuk kecintaan umat Islam kepada Baginda. Ceramah turut menekankan keperibadian dan akhlak mulia Baginda sebagai contoh dan panduan dalam kehidupan seharian, di samping nilai pendidikan dan tarbiyah yang terkandung dalam sirah Baginda yang dapat diterapkan dalam membentuk kehidupan berlandaskan rahmat kepada seluruh alam.





Selain itu, ceramah turut menyentuh mengenai amalan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. yang dilakukan oleh Allah S.W.T, para malaikat dan umat Islam. Kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. juga merupakan antara asas penting dalam mencapai kecintaan kepada Allah S.W.T.
Majlis diakhiri dengan Doa Selamat, dengan harapan agar penghayatan terhadap sirah, akhlak dan ajaran Rasulullah S.A.W terus dipupuk dalam kehidupan seharian, seterusnya menjadi panduan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan keikhlasan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
