TEMBURONG, Selasa 1 Mac 2022 – Dengan maklumat risikan dan pemantauan yang semakin dipergiatkan telah banyak membantu Pihak Polis dalam pengesanan para penjenayah yang sering menggunakan jalan-jalan tikus sebagai batu loncatan untuk membawa masuk barang-barang tegahan ke negara ini.
Insiden terkini ialah penemuan beberapa kotak bungkusan hitam yang mencurigakan tersimpan di sebuah pondok kecil di dalam sebuah hutan di kawasan Kg Lakiun, Jalan Labu Temburong.
Kejadian yang berlaku pada 1 Mac 2022 sekitar waktu pagi tersebut adalah hasil pemantauan daripada keanggotaan detektif Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas bungkusan tersebut menemukan sebanyak 11 botol dan 480 tin minuman keras pelbagai jenama.
Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dihubungi bagi tindakan dan siasatan selanjutnya.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
