TEMBURONG, Rabu 6 April 2022 – Sebanyak 312 botol, 840 tin minuman keras pelbagai jenama, 20 kg daging sayap ayam mentah dan tongkeng ditemui semasa penahanan sebuah kenderaan bersama pemandu di kawasan premis perniagaan di Kg Puni, Daerah Temburong pada 6 April 2022 sekitar jam 5.30 pagi.
Semasa insiden penahanan yang dijalankan oleh keanggotaan detektif dan peronda Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mendapati penemuan sejumlah 32 bungkusan plastik hitam yang mencurigakan disimpan di bahagian tempat duduk penumpang belakang dipercayai kesemuanya adalah barang tegahan. Kenderaan dan pemandu segera dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal.
Pemandu (suspek) adalah seorang lelaki warganegara tempatan berumur 39 tahun beserta barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) Daerah Temburong bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Suspek juga turut berdepan dengan kesalahan di bawah Akta Lalulintas Jalanraya kerana kesalahan kenderaan tidak dilindungi insuran dan cukai jalan mansuh.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa bekerjasama dan berganding bahu bersama agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini dalam membanteras dan mencegah dari berlakunya jenayah dan isu penyeludupan rentas sempadan di Negara Brunei Darussalam.
Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama orang ramai bagi membantu pihak berkuasa dalam memerangi jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat yang berkaitan melalui talian-talian kecemasan pihak penguatkuasa undang-undang di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
