KUALA BELAIT, RABU, 30 Julai 2026 – Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), telah melaksanakan Operasi Sepadu Sekatan Jalan Raya di Lebuhraya Seria dan Lebuhraya Lumut, Daerah Belait.
Operasi tersebut melibatkan seramai 74 pegawai dan anggota daripada PPDB, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU), Biro Kawalan Narkotik (BKN) serta Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Hasil operasi, PPDB telah mengeluarkan sebanyak 46 saman atas pelbagai kesalahan berkaitan peraturan lalu lintas dan keselamatan kenderaan.
JIPK pula mengesan empat kesalahan melibatkan tinggal lebih masa di negara ini dan bekerja dengan majikan lain, manakala JKED mengesan 9 kesalahan berkaitan pemilikan barang tegahan. JPD mengambil tindakan terhadap 11 kesalahan berkaitan peraturan lalu lintas dan keselamatan kenderaan berat dan komersial.




BKN turut mengesan 1 kes penyalahgunaan dadah. Semasa sekatan jalan raya dijalankan, suspek juga didapati telah menggunakan cukai jalan kenderaan palsu. Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut, dan kes tersebut kini disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), PPDB bagi kesalahan pemalsuan dokumen kerajaan.

PPDB akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya. Orang ramai diseru agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta memenuhi peraturan yang ditetapkan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
