TUTONG, ISNIN, 27 Julai 2026 – Daerah Polis Tutong (DPTT), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya membanteras kegiatan perjudian “Katam-Katam” dan “Paikaw” dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah kediaman di Kampung Batang Mitus, Tutong.

Serbuan yang melibatkan seramai 46 pegawai dan anggota PPDB dengan kerjasama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah berjaya menahan 30 orang suspek, terdiri daripada 27 lelaki dan 3 wanita, berusia antara 14 hingga 70 tahun. Daripada jumlah tersebut, seorang merupakan warganegara asing, manakala selebihnya adalah warganegara tempatan.

Hasil serbuan turut membawa kepada rampasan wang tunai dalam pelbagai mata wang dengan jumlah keseluruhan dianggarkan melebihi BND21,900.00, serta peralatan-peralatan perjudian yang digunakan dalam perjudian tersebut. Dalam operasi yang sama, pihak JKED turut menyita beberapa barang tegahan, iaitu 178 batang rokok pelbagai jenama, satu botol minuman keras dan tiga unit vape.

Kesemua suspek telah diarahkan untuk hadir ke Balai Polis Tutong dan Unit Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-Undang, JKED Kuala Belait bagi membantu siasatan serta tindakan lanjut. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 6(1), Akta Rumah-Rumah Perjudian Terbuka, Penggal 28.

PPDB ingin menasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian atau aktiviti yang menyalahi undang-undang. PPDB akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang, demi memelihara keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI