BANDAR SERI BEGAWAN, KHAMIS, 23 JULAI 2026 – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa bagi membendung peningkatan kes kecurian kabel, satu operasi sepadu “Ops Besi” telah dijalankan oleh Pasukan Petugas (Taskforce) Kecurian Kabel yang diketuai oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), bersama beberapa agensi penguatkuasa lain.

Operasi Sepadu yang melibatkan pegawai dan anggota PPDB terdiri dari JSJ dan Daerah Polis Brunei-Muara (DPBM) serta ahli-ahli penguatkuasa dari Jabatan Alam Sekitar dan Taman Rekreasi (JASTRe), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Buruh telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah syarikat kitar semula di kawasan Kg Junjungan.

Hasil pemeriksaan tersebut mendapati beberapa kesalahan buruh di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 melibatkan pekerja warganegara asing di bawah jagaan syarikat tersebut dan juga kesalahan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa, Penggal 248 iaitu menjalankan kegiatan perusahaan serta mendirikan struktur bangunan tanpa memperolehi kebenaran perancangan daripada pihak berkuasa perancangan. Syarikat tersebut juga melakukan beberapa kesalahan dari kebersihan tapak perusahaan, dan penggunaan tanah untuk menyimpan besi buruk tanpa kebenaran.

Tujuan operasi sepadu tersebut adalah sebagai satu inisiatif untuk menangani isu kecurian kabel yang berlaku di negeri ini dan untuk memastikan syarikat kitar semula mematuhi syarat-syarat yang telah dikeluarkan oleh pihak penguatkuasa yang berkenaan dan menjalankan operasi kitar semula dengan cara yang teratur dan bersih.

Syarikat Kitar Semula juga diingati supaya tidak menerima besi buruk terutamanya besi tembaga secara sembarangan dan menerimanya tanpa membuat langkah-langkah yang berpatutan untuk memastikan sumber besi tembaga tersebut bukanlah hasil curi. Syarikat-syarikat kitar semula juga disarankan untuk memohon kebenaran notifikasi bertulis dari pihak JASTRe sebelum memulakan operasi untuk mengelakkan berlakunya sebarang kesalahan.

Pihak polis juga menyarankan kepada syarikat kitar semula untuk memaklumkan dengan segera melalui talian 993 apabila mendapati mana-mana orang yang menjual besi buruk dengan jumlah yang mencurigakan dan dipercayai hasil curi.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI