BANDAR SERI BEGAWAN, SELASA, 21 JULAI 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara asing yang disyaki terlibat dalam pemasangan Peranti ’Skimming’ (Skimming Device) di mesin juruwang automatik (ATM) dalam negara.

Penahanan tersebut dibuat baru-baru ini oleh pihak PDRM di Miri, Sarawak, berikutan laporan yang diterima oleh Balai Polis Bandar Seri Begawan daripada pihak bank berkenaan pada hari Ahad. Suspek tersebut seterusnya diserahkan kepada pihak Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi siasatan lanjut.

Suspek kini ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 5, Akta Penyalahgunaan Komputer, Penggal 194 (Computer Misuse Act, Chapter 194). Siasatan masih giat dijalankan bagi mengenal pasti tahap penglibatan suspek, kaedah yang digunakan serta kemungkinan penglibatan individu atau rangkaian lain dalam kegiatan berkenaan.

PPDB ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menggunakan ATM dengan membuat pemeriksaan keatas bahagian slot kad dan papan kekunci bagi memastikan tiada peranti atau objek mencurigakan dipasang. Orang ramai juga dinasihati untuk melindungi papan kekunci ketika memasukkan nombor pengenalan peribadi (PIN), di samping sentiasa memantau rekod transaksi dan baki akaun masing-masing.

Sekiranya mendapati sebarang peranti, objek atau aktiviti yang mencurigakan pada ATM, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan mesin atau menyentuh peranti tersebut dan segera menghubungi pihak bank berkenaan dan membuat laporan kepada pihak polis di talian kecemasan 993.

PPDB memandang serius sebarang kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan kewangan orang ramai dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat.

Dikeluarkan Oleh:

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI