BRUNEI-MUARA, Khamis, 2 Julai 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin memaklumkan bahawa bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi hari ini berhubung kes yang tular di media sosial telah mengesahkan punca kematian adalah akibat gantung diri. Pemeriksaan yang dijalankan turut mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau perkara yang mencurigakan ditemui berhubung kes ini.

Sementara itu, usaha mengenal pasti identiti si mati masih diteruskan. Cap jari si mati telah diambil dan dihantar ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PPDB serta Jabatan Imigresen & Pendaftaran Kebangsaan bagi membantu proses pengenalpastian.

Sehubungan itu, PPDB menyeru orang ramai yang mengenali si mati atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan identitinya supaya tampil ke hadapan dan menghubungi balai polis yang berhampiran.

Orang ramai juga adalah dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran atau kebimbangan dalam kalangan orang ramai, serta tidak menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya berhubung kes ini. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi PPDB, jika perlu.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI